Friday, January 27, 2012

~Dongeng Kiamat 2012~MASTIKA JANUARI~

Oleh: Sahidan Jaafar

 Fajar 1 Januari 2012 akhirnya memancar terang nun di sebalik Banjaran Titiwangsa. Sekali lagi mentari pagi menyingsing di celah-celah dongeng tentang hari kiamat yang kononnya bakal berlaku pada 2012 berdasarkan kalender kaum Maya. Kaum Maya meramalkan dunia akan berakhir pada 21 Disember 2012.
 Apakah peristiwa kiamat itu benar-benar terjadi pada tarikh berkenaan? Entahlah, makin lama makin banyak ramalan tertumpu kepada 2012.
 Selain ramalan kaum Maya, ada juga kajian pada tahun 2001 misalnya oleh seorang pakar komputer mengatakan bahawa sesuatu akan berlaku kepada bumi dalam waktu terdekat iaitu pada 7 Januari 2012 dan 4 November 2012 berdasarkan kajian ke atas surah ar-Rahman.
 Mungkinkah meteor atau planet Nibiru bakal berlanggar dengan bumi, hanya Allah saja yang maha mengetahui.
 Namun berdasarkan kajian pakar komputer bernama Ali Adam itu berpendapat ada kemungkinan 'hujan meteor' akan berlaku sebagaimana huruf ke-1433 dalam surah ar-Rahman yang bermaksud kata 'jatuh' (batu dari langit). Adakah batu meteor akan berjatuhan menghentam bumi pada tarikh berkenaan sehingga berlaku kemusnahan besar? Selama ini saintis pernah mengesahkan hujan meteor menghentam bumi.
 Berdasarkan ayat dalam surah ar-Rahman, Allah menerangkan bahawa kejadian ini merupakan 'balasan azab berpanjangan' daripada Allah kepada manusia seperti yang tercatat pada perkataan ke-1433 dalam surah tersebut.
 Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi pernah ditanya tentang benarkah alam ini akan hancur pada tahun 2012, namun beliau menyifatkan persoalan ghaib ini termasuk dalam ilmu Allah yang menerobos tabir masa yang akan datang  dan perkara-perkara ghaib itu tidaklah ada makhluk yang mengetahuinya kecuali Allah jua.
 Ibnu Katsir mengatakan bahawa firman Allah, " Katakanlah: sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tiada seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia (Allah)!"
 Sebagaimana diungkapkan seorang penyair:
 Kami menjalani apa-apa yang telah dituliskan atas kami;
 Dan telah dituliskan pula atasnya untuk dia jalani;
 Dan barang siapa yang telah dituliskan kematiannya di suatu tempat; Maka tidaklah dia akan mati di tempat yang lainnya.
 Wallahualam!
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~`

No comments:

Post a Comment

thanks for visiting my blogs :)