Friday, March 9, 2012

~Istimewanya Jenazah Arwah!~MASTIKA MAC~

 Seperti diceritakan oleh Mohd. Yusni Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Darul Jenazah kepada wartawan eksekutif Mastika, Kairul Anwar Md. Yusop


Ringan, bau harum, tersenyum manis...

 Dua pengalaman yang ingin saya ceritakan ini agak menarik tentang jenazah yang saya pernah uruskan. Mungkin ada yang tidak percayakan cerita ini, namun ingin saya tegaskan kejadian ini merupakan kejadian benar-benar berlaku yang cukup menginsafkan saya.
 Kira-kira lapan bulan lalu, ekitar pukul 2.30 pagi, saya terima panggilan melalui talian hotline Darul Jenazah. Dalam talian itu, seorang lelaki meminta pihak kami uruskan jenazah ayahnya yang ketika itu berada di hospital pinggir ibu kota.
 Lelaki itu juga meminta pihak kami sediakan van jenazah untuk membawa jenazah ayahnya pulang ke kampung halamannya di Temerloh, Pahang untuk di kebumikan.
 Selepas mendapat panggilan itu, saya terus hubungi dua orang sahabat meminta bantuan. Seorang saya arahkan ke hospital manakala seorang lagi ke Darul Jenazah mengambil perkakasan dan pergi bersama dengan saya.
 Cukup peralatan, saya dan sahabat tadi bergerak ke hospital. Dalam perjalanan ke hospital, saya mula terasa kelainan.
 Memang ketika itu awal pagi. Keadaan jalan tidak sesak. Tapi suasana pagi itu saya rasakan berlainan dari sebelum ini. Pergerakan saya ke hospital sangat lancar dan tenang.
 Saya kata begitu sebab ini bukan kali pertama saya ke hospital tersebut di waktu dinihari begini. Sudah kerap kali. Jadi saya agak arif keadaan jalan di situ.
 Tambah pelik, setiap kali saya tiba dipersimpangan lampu isyarat, serta merta lampu isyarat bertukar hijau tanpa perlu saya berhenti. Boleh dikatakan hampir semua lampu isyarat yang saya lalui jadi begitu bertukar hijau. Perjalanan saya pagi itu sangat mudah.
 Sebaik tiba di perkarangan bilik forensik hospital, saya mengerling jam di tangan. Hanya 15minit masa yang diperlukan dari pejabat di Ara Damansara untuk sampai ke hospital. Kebiasaannya hampir setengah jam.
 Selepas turun  dari kereta, saya berjalan ke bilik pengurusan jenazah yang terletak berhampiran bilik mayat.
 Sedang berjalan , sekali lagi saya terasa kelainan. Sudah banyak kali saya datang ke bilik pengurusan  jenazah di hospital-hospital sekitar ibu kota termasuk hospital ini.
 Jadi saya juga tahu bau di sekitar bilik itu. Kebiasaannya kita akan tercium bau hanyir, bau mayat, atau bau yang kurang menyenangkan.
 Tapi, pagi itu bauan harum mencucuk-cucuk hidung saya.
 Sangat wangi. Malah udara di luar dan dalam bilik itu juga begitu nyaman.
 Peliknya jika sebelum ini tidak pula saya tercium bau sebegitu. Tanpa menghiraukannya, saya terus masuk kebilik pengurusan jenazah dan berjumpa dengan waris si mati.
 Ketika itu baru saya tahu si mati meninggal akibat sakit jantung dan sudah banyak hari arwah di hospital ini sebelum menghembuskan nafas terakhir.
 "Izin saya uruskan jenazah arwah ayah awak," pinta saya pada anak lelaki arwah, lingkungan usianya 30-an.
 Saya juga meminta mana-mana warisnya membantu kami memandikan arwah nanti. itu lebih afdal. Sebelum memandikan jenazah, kami perlu menyediakan peralatan untuk kapan.
 Jadi, tanpa berlengah lagi saya terus mennuju ke arah jenazah yang terbaring kaku di atas stretcher untuk mengambil ukuran.
 Perlahan-lahan kain yang menutup jenazah saya selak. Bermula dari kaki, saya selak kain naik ke badan hingga ke muka arwah.
 Saya pandang muka arwah. Wajahnya begitu tenang. Mukanya berseri-seri. Wajah arwah seperti sedang tidur dalam keadaan nyenyak.
 Selepas mengambil ukuran, kain putih tadi kami potong jadikan tiga bahagian. Lebihan kain tadi, sehelai dibuat baju hingga ke pinggang, sehelai seluar dan sehelai serban. Lebihan kain-kain tadi kami potong halus-halus untuk dijadikan pengikat pula.
 Selesai semuanya saya lihat jam. Sekali lagi saya terkejut. Urusan menyediakan kain kapan terlalu pantas. Kebiasaannya kami perlukan sekitar 30 minit. Tapi kali ini baru 10 minit semuanya sudah siap.
 Waktu mengangkat, saya rasakan arwah begitu ringan. Walaupun badan arwah agak besar dan saya kira beratnya lebih 70 kilogram tapi kami rasa ringan. Hanya tiga orang diperlukan.
 Saya kata begitu sebab saya sudah biasa menguruskan berpuluh-puluh jenazah. Jadi saya boleh mengagak berat jenazah itu, Tapi arwah ini lain. Ringan betul.
 Di atas tempat mandian perlahan-lahan anggota badan arwah kami bersihkan. Sedang mandikan arwah, sekali lagi saya perasan kelainan.
 Berdasarkan pengalaman, apabila seseorang itu meninggal lebih dari empat jam, keadaan mayatnya akan kaku. Jadi ketika jenazah itu dimandikan kami terpaksa lakukan regangan untuk melembutkan anggota badan jenazah.
 Tapi arwah ini lain. Walaupun telah meninggal lebih dari enam jam, jasadnya masih lembut. Tangannya mudah digerakkan, Anggota badannya langsung tak kaku atau keras. Arwah seolah-olah baru meninggal dunia.
 Malah waktu itu, saya lihat kuku kai, tangan dan janggut arwah pendek seperti baru dipotong. Keadaan arwah kemas.
 Pada pengalaman saya, biasanya orang sakit tak mampu nak uruskan diri lagi. Apabila meninggal ketika sakit, Keadaan sesorang itu akan berserabut. Tapi arwah ini sebaliknya. Arwah seperti tahu dia akan meninggal dunia hari itu.
 Selesai memandikan arwah saya pandang jam. Sekali lagi saya terkejut. Manakan tidak, masa yang kami ambil kurang 30 minit.
 Biasanya sekitar satu jam. Tak pernah saya uruskan jenazah secepat ini sedangkan kami lakukan dengan penuh tertib dan ikut prosedur.
 Sebabnya, saya berpegang pada hadis Nabi, yang lebih kurang begini maksudnya: "Barang siapa yang menguruskan jenazah dengan sebaik-baiknya dan menjaga kehormatannya, dengan amanah, maka Allah akan menghapuskan dosanya seperti bayi baru dilahirkan!"
 Selesai arwah dimandikan, kami mengapankan pula. Satu persatu kain putih dibalut ke tubuhnya. Urusan mengkapan juga dipercepatkan oleh Allah.
 Selesai urusan itu, kami bawa arwah ke surau di hospital itu untuk disembhyangkan. Semasa di surau itu sekali lagi saya terkejut. Ketika hendak menyembahyangkan arwah, tiba-tiba saja saya lihat begitu ramai jemaah yang hadir. Lebih dari 60 orang.
 Dari mana jemaah ini datang saya sendiri tak tahu. Adakah mereka waris si mati, saudara mara atau sahabat handai, saya tak pasti. Sebabnya semasa mula tiba di surau itu, saya lihat tak ramai jemaah. Tapi bila hendak sembahyang tiba-tiba jadi ramai.
 Selesai sembahyang, arwah diusung dan dibawa ke van jenazah. Tugas seterusnya saya serahkan pada pekerja saya, Haji Aziz yang merupakan pemandu van jenazah untuk membawa arwah ke kampung halamannya di Temerloh, Pahang.
 Dalam perjalanan pulang ke rumah, sata terfikir tentang arwah. Saya dapat rasakan arwah sangat bertuah. Selama saya uruskan jenazah tak pernah saya rasa pengalaman menarik seperti ini. Segalanya berjalan pantas seperti Allah mahu arwah dikebumikan segera. Allah memuliakannya.
 Tengah hari itu, selepas pulang dan menghantar jenazah tersebut, Haji Aziz berjumpa saya.
 "Ustaz, saya rasa jenazah kali ini saya tak akan lupa sampai bila-bila," cerita Haji Aziz.
 "Kenapa Haji," soal saya dan minta dia ceritakan. Saya memang berminat untuk tahu.
 Kemudian Haji Aziz mula bercerita. Kata Haji Aziz seperti diarahkan dia memandu ke Temerloh, Pahang. Sampai disana selepas waktu subuh.
 Selepas menurunkan jenazah dan dibawa masuk ke dalam masjid untuk disembahyangkan buat kali kedua oleh penduduk kampung, datang beberapa orang waris berjumpa Haji Aziz.
 "Nak tanya ni. Tadi Haji bawa van berapa laju?" soal salah seorang waris yang memandu kereta mengikut van jenazah dari hospital.
 "Saya bawa 90 kilometer aja. Ada jenazah tak boleh bawa laju. Lagipun van jenazah ni ada cut off. Paling laju 100 kilometer aja. Tak boleh lebih dah," jelas Haji Aziz panjang lebar.
 "Berapa?" soal waris lagi seolah-olah tak berpuas hati. Ada juga seakan-akan tidak percaya.
 "90 kilometer aja. Kenapa?" soal Haji Aziz pula.
 "Haji tahu tak,kami tak terkejar haji tadi. Haji bawa laju sangat. Nak potong pun tak boleh. Jarum meter kereta kami tunjuk 140 kilometer," kata salah seorang waris dan membuatkan Haji Aziz sendiri terkejut.
 Bila Haji Aziz ceritakan pada saya, saya juga terkejut. Mana mungkin van kami boleh bergerak selaju itu. Saya sendiri pernah memandu van jenazah tersebut jika tiada pemandu.
 Memang kelajuan van tersebut tidak boleh melebihi 100 kilometer sejam. Bila Haji Aziz bercerita begitu, saya mula berfikir tentang arwah. Bagi saya arwah insan teristimewa dan mendapat 'bahagian' yang baik di dunia lagi. Mudah-mudahan Allah menempatkan di tempat yang mulia di akhirat sana.
-> (gambar hiasan)
 Walaupun sata tak mengenali arwah tetapi dari apa yang telah berlaku ketika saya menguruskannya, saya yakin arwah seorang yang baik.
 Saya juga yakin arwah seorang yang bertanggungjawab, sentiasa menepati masa dan ingat mati. Arwah juga mungkin seorang yang pandai bahagikan masa di antara dunia dan untuk akhirat.
 Mungkin disebabkan itulah, tak mustahil Allah permudahkan dan mempercepatkan segala proses pengebumian arwah. Masa yang diambil semuanya dipercepatkan Allah belaka~copy from Mastika
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
selamat membaca :)

No comments:

Post a Comment

thanks for visiting my blogs :)