Thursday, March 8, 2012

" Selamat Tinggal Umairah! "~MASTIKA MAC~

Oleh: Ahmad Soffian Mohd. Shariff (wartawan mastika idol)

 Kelas pada malam itu berakhir pukul 10.00 malam. Setelah mengemas barang-barang untuk pulang, Ahmad berjalan menuju ke perhentian bas yang disediakan di dalam kolej.
 Sepanjang perjalanan ke perhentian tersebut, Ahmad di sapa oleh beberapa rakan yang menaiki kereta dan motosikal, ramai yang mempelawa Ahmad untuk menumpang mereka.
 Tapi, Ahmad menolak, dia rasa tenang untuk berjalan dalam hujan. Boleh juga dia menenangkan fikiran setelah empat jam kepalanya di bebani dengan fakta-fakta yang baru di terimanya di kelas tadi.
 Berbekalkan sekaki payung dia berjalan perlahan menuju ke perhentian bas. Langkahnya sengaja diperlahankan, dia membiarkan sahaja mukanya dibasahi tempias hujan. Setelah sampai di perhentian bas Ahmad segera melabuhkan punggung di bangku batu yang disediakan. Hujan masih lagi renyai-renyai.
 "Boleh tumpang tanya? Sekarang pukul berapa ya?"
 Ahmad bingkas bangun, rupanya dia tidak perasan di belakangnya ada seorang perempuan muda berdiri sambil memegang sekaki payung. Dengan pantas Ahmad mengeluarkan telefon bimbit dari koceknya.
 "Pukul 10.15 malam!" jawab Ahmad ringkas.
 Perempuan itu terus duduk di bangku panjang, meletakkan beg yang dibawanya di sebelah. Walaupun aktif berpersatuan dan menjadi pendebat fakulti, Ahmad seorang yang pemalu.
 Untuk menghilangkan rasa segan dia terus menekan punat-punat telefon bimbitnya. Sengaja dibuat-buat sibuk. Entah apa yang ditekannya dia pun tidak tahu. Ahmad sememangnya pemalu, lagi-lagi dengan perempuan.
 "Duduklah, saya tak makan orang!" kata perempuan muda itu sambil menguntumkan senyuman manis kepada Ahmad.
 Ahmad senyum kembali, diperhatikan wajah perempuan muda itu. Kluitnya cerah, matanya seakan-akan bercahaya ditengah kesamaran malam. Ahmad segera duduk di bangku.
 "Comel jugak budak ni!" kata Ahmad dalam hati.
 Perempuan muda bertudung itu memakai pakaian sukan, siap bersepatu joging dan berjaket sukan. Pelik juga Ahmad tengok, takkan lah gadis itu hendak bersukan tengah-tengah malam buta.
 "Baru balik kelas ke?" tegur perempuan muda itu.
 "Haah, tadi kelas habis pukul 10.00!" jawab Ahmad selamba.
 "Awak ni student fakulti mana? Part berapa?" tanya perempuan muda itu lagi.
 "Saya student fakulti undang-undang, sekarang part 3. Awak?" jelas Ahmad, seronok juga dapat berbual, kalau tidak bosan dibuatnya menunggu bas yang tak nampak bayangnya pun lagi.
 "Oh ya ke, saya fakulti sebelah je, business faculty, ni semester last saya. Malam-malam macam ni biasanya saya sorang je yang tunggu bas kat sini!"
 Perempuan muda itu memperkenalkan diri, namanya Umairah. Seronok Ahmad dapat berbual dengan Umairah, kebiasaannya pelajar-pelajar perempuan di  kelasnya sombong. Kalau tak sombong pun, tiada apa yang boleh dibualkan. Personaliti kebanyakan mereka dan Ahmad terlalu berbeza.
 Tapi, semua mereka berbeza dengan Umairah. Setiap topek yang dibangkitkan oleh Umairah untuk dibualkan kebetulan menjadi minat Ahmad.
 Dari perbualan tentang sukan hinggalah ke politik, perbualan Umairah dan Ahmad begitu rancak sehingga tidak sedar bas yang ditunggunya dari tadi telah berhenti di depannya.
 Ahmad terus bangun untuk meneiki bas, tapi Umairah masih lagi duduk di bangku perhentian bas.
 "Eh, awak tak naik sekali?" tanya Ahmad.
 "Tak pe, saya tunggu bas lagi satu. Bas ni tak lalu tempat saya!" jawan Umairah sambil melemparkan senyuman manis kepada Ahmad.
 Ahmad membalas senyuman Umairah, dengan cepat dia menaiki bas. Setelah berjaya mencari tempat duduk, Ahmad menjenguk keluar tingkap.
 Hujan telah pun berhenti, bas yang dinaikinya meluncur laju di atas jalan raya yang licin. Tiba-tiba dia teringat, payungnya tertinggal di perhentian bas. Seronok sangat berbual dengan Umairah, sampai terlupa payung yang dibawanya tadi.
 Malam esoknya Ahmad segera mengemas barang-barangnya selepas kelas, dia terus berjalan ke perhen tian bas. Kali ini lengkahnya dipercepatkan.
 Setelah sampai di perhentian bas dia melihat sekeliling. Hanya dia seorang saja di situ. Di dalam hati kecilnya dia menunggu Umairah. keseronokan bertemankan Umairah masih tidak dapat dilupakannya. Ahmad menanti...
 "Hey, hari ni pun ada kelas malam lagi?" tegur Umairah dari belakang Ahmad.
 "Haah, saya setiap hari ada kelas sampai pukul 10.00 malam!" jawab Ahmad, cuba menyembunyikan perasaan gembiranya kerana dapat bertemu dengan Umairah lagi sekali.
 "Nah payung awak, semalam tertinggal!" sapa Umairah sambil menghulurkan payung kepada Ahmad.
 "Oh ya... Terima kasih tau!" ucap Ahmad.
 "Nak balik cepat sangat sampai tertinggal payung!" ujar Umairah mengusik.
 Ahmad tersenyum, mereka berbual seperti semalam, perbualan yang rancak sehingga sekali lagi Ahmad tidak sedar bas telah berhenti di depannya.
 Hampir setiap malam Ahmad akan bergegas ke perhentian bas untuk menemui Umairah selepas kelas, dan setiap malam juga mereka akan berbual panjang.
 Perbualan yang tidak pernah bosan. Cuma kadang-kadang Umairah akan nampak sedih, Ahmad sangkakan mungkin kerana Umairah penat, maklumlah pagi dia ke kelas. Petang sampai malam berlatih silat olahraga dipusat sukan kolej.
 Ahmad pernah mewakili sekolah dalam silat olahraga, dia tahu kadang-kadang latihan silat olahraga amat penat dan meyakitkan. Tapi biasanya Umairah akan berbual dan ceria seperti hari pertama dia bertemu Ahmad.
 Sudah tiga minggu Ahmad berkawan dengan Umairah, dan pada malam isnin minggu ke tiga pertemuan mereka, pensyarah Ahmad telah memberitahu yang semua kelas waktu malam akan dibatalkan dan akan ditukarkan ke pagi sabtu.
 Selepas kelas dia terus bergegas ke hentian bas, Ahmad menunggu Umairah. Tapi setelah lama menunggu, bas telah pun sampai, Umairah tetap tidak datang.
 Agak kecewa Ahmad pada malam itu, sudahlah kali terakhir kelas malamnya, dia tidak dapat bertemu pula dengan Umairah. Ahmad tidak sempat untuk meminta nombor telefon Umairah, dia hanya berjaya mendapat alamat e-melnya sahaja.
 Keesokan harinya dia terus menghantar e-mel kepada Umairah menceritakan tentang pertukaran jadual kelasnya. Pada kesempatan itu juga Ahmad meminta nombor telefon bimbit Umairah.
 Setiap jam Ahmad akan membuka e-melnya untuk melihat adakah Umairah telah membalas. Tepat pukul 10.00 malam hari tersebut Ahmad mendapat jawapan dari Umairah.
 "Tak pe lah kalau macam tu,
 Kalau ada rezeki kita jumpa lagi!" balas Umairah. Terkilan Ahmad. Umairah tidak menyertakan nombor telefonnya.
 Sejak itu, Ahmad sentiasa terkenangkan Umairah. Kadang-kadang Ahmad senagja menunggu di lobi fakulti perniagaan semata-mata untuk menunggu, manalah tahu, mungkin Umairah akan muncul, boleh dia berjumpa dengan Umairah.
 Sepanjang penantian Ahmad, dia tidak terserempak pun dengan Umairah. Setelah dua minggu menanti, Ahmad putus asa. Dia tidak lagi menunggu Umairah.
 Hampir berpuluh-puluh e-mel dihantarkan kepada Umairah, tapi tidak satu pun bgerbalas.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 Pada suatu malam selepas selesai solat Maghrib, Ahmad menerima SMS daripada Presiden Kelab Debat Bahasa Melayu Kampus. Ahmad dikehendaki menghadiri perjumpaan malam itu juga.
 Dengan tergesa-gesa Ahmad bersiap dan menunggu bas. Semasa bas yang dinaiki Ahmad melalui jalan ke dewan  mesyuarat fakulti, dia ternampak Umairah sedang duduk di perhentian bas yang biasa dia dan Umairah berborak.
 Terdapat ramai orang di situ. Ahmad cuba melambai-lambai kepada Umairah, Tapi Umairah tidak nampak, mukanya dihadapkan ke depan. Reaksi mukanya kosong, seperti dia tidak menghiraukan langsung keadaan sekelilingnya.
Lambaian Ahmad tadi tidak disambut Umairah, tapi disambut oleh dua orang pelajar lelaki lembut yang kebetulan terpandang Ahmad ketika dia sedang melambai ke arah Umairah.
 Setibanya di dewan mesyuarat, Ahmad segera mengambil tempat duduk. Susunan kerusi di dewan tersebut adalah berpasangan, supaya senang untuk ahli mesyuarat bangun dan keluar.
 Mesyuarat pada malam itu adalah untuk menentukan saringan pertandingan debat bahasa Melayu peringkat kampus. Kebetulan Ahmad duduk disebelah wakil dari fakulti perniagaan. Sedang president menyampaikan ucap tama untuk majlis tersebut Ahmad ditegur oleh pelajar lelaki disebelahnya.
 "Ko selalu masuk debat ke?" tanya pelajar tersebut.
 "Selalu tu taklah, tapi adalah juga. Kenapa, ko first time ke join debat?" sambung Ahmad.
 "Haah, ni first time akulah, dulu orang lain, sekarang aku kena ganti," terang pelajar tersebut.
 "Oh ya ke? aku Ahmad part 3 FUU. Selamat datang ke dunia debat kampus." kata Ahmad tersenyum sambil menghulurkan salam.
 "Aku Adam part 6 fakulti Pengurusan Perniagaan. Terima kasih." kata Adam sambil menerima huluran tangan Ahmad.
 "Part 6 FPP? Aku ada kawan part 6 FUU jugak, nama dia Umairah!" seraya Ahmad berkata begitu majlis penentuan giliran saringan telah pun tamat.
 Serentak semua ahli mesyuarat bangun untuk ke meja jamuan ringan yang disediakan. Tapi Adam masih lagi duduk di kerusi, dahinya berkerut, Ahmad yang ingin ke meja jamuan pun menghentikan langkahnya.
 "Ko kenal Umairah?" tanya Adam.
 "Yalah, dua tiga minggu lepas aku selalu lepak dengan dia kat bus stop masa aku balik kelas malam." jawab Ahmad.
 "Betul ke nama budak tu Umairah dan dia part 6 FPP?" tanya Adam lagi.
 "Yalah, dahlah, jom pi makan, nanti kejap lagi habis. Budak-budak debat ni bercakap laju, makan pun kuat!" Ahmad cuba berseloroh.
 Tanpa berkata apa-apa, Adam mengekori Ahmad ke meja jamuan. Sedang mereka makan, secara tiba-tiba Adam berkata:
 "Esok pagi ko free?"
 "Free kot, kelas aku 10.30 pagi, kenapa? balas Ahmad.
 "Esok dalam pukul 8.30 ko datang lobi FPP, aku tunggu ko kat situ!" terang Adam.
 "Kenapa, nak buat apa tunggu kat lobi tu pagi-pagi?" tanya Ahmad lagi.
 "Aku nak cakap ngan ko pasal Umairah, sekarang tak boleh, kawan-kawan dia ramai kat sini!" jelas Adam panjang lebar.
 Keesokan harinya, tepat pukul 8.30 Ahmad telah sampai di lobi FPP. Setibanya disana Adam telah pun sampai.
 "Ha... Apanya yang ko nak cerita pasal Umairah?" tanya Ahmad.
 Adam mengeluarkan senaskhah akhbar yang bertarikh setahun lepas. Ahmad membaca tajuk utama akhbar tersebut.
 "Pelajar meninggal dunia dilanggar bas kampus..."
 Diteruskan bacaannya lagi. Hampir pengsan Ahmad apabila melihat gambar Umairah terpampang di dada akhbar tersebut.
 "Dia dulu senior aku, orang kata pemandu bas tu mengantuk, lepas tu pihak pengurusan kampus tak cerita kat junior. Takut korang tak mau pegi kelas malam!" ujar Adam dengan nada yang tenang.
 "Tapi aku baru je jumpa dia minggu lepas. Dekat bus stop tulah.
 "Abis tu kalau ini Umairah, sapa yang aku jumpa tu?" tanya Ahmad.
 "Entah, aku pun tak tahu. Malam ini ada meeting, kan? Nanti aku hantar ko baliklah, tak yah naik bas!" pelawa Adam.
 Malam itu Ahmad membonceng motor Adam. Semasa melalui perhentian bas tersebut Ahmad memalingkan muka ke arah lain. Ahmad terpandang cermin sisi motosikal Adam. Ahmad ternampak "Umairah" sedang duduk dibangku dan menangkup mukanya seperti sedang menangis.
 "Selamat tinggal Umairah!" kata Ahmad dalam hatinya. Motosikal Adam meluncur laju, membelah kegelapan malam.~
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

~cerita ni hasil nukilan dari peserta MASTIKA IDOL.. :)

No comments:

Post a Comment

thanks for visiting my blogs :)