Tuesday, July 16, 2019

~ BANYAK TANYA PETANDA ANAK BIJAK ~

Sumber Artikel Dari : majalah mingguan wanita (permata hati) bil: 1814
Susunan@Olahan:-
Kredit Gambar: -
Nota : sis kongsikan kembali info2 yang terdapat dalam kandungan majalah mingguan wanita untuk pengetahuan kita bersama..untuk lebih banyak info2 yang bermanfaat boleh lah beli majalah wanita setiap minggu :)
www.mingguanwanita.my


Anak-anak adalah perwaris masa depan. Setiap daripada mereka memiliki keunikan masing-masing yang harus diraikan sesuai dengan keadaan dan keperluan mereka. Sebagai ibu bapa yang diberikan tanggungjawab ini, kita harus cakna dengan semua keperluan mereka. Keperluan yang dimaksudkan di sini harus dinilai dengan kaca mata syarak.

Sebagai orang yang dewasa dan matang, kitalah yang harus meletakkan nilai kepada setiap permintaan anak-anak mengikut turutan keperluannya. Kemudiannya, daripada penetapan inilah anak-anak belajar meletakkan nilai tersebut dalam kehidupan mereka pula. Ibu bapa yang berjaya adalah ibu bapa yang berjaya memberikan cara pandang yang sesuai dan sejajar dengan pandangan islam dalam pemikiran anak-anak.

Salah satu cara untuk menanam perkara ini dalam pemikiran mereka ialah melalui komunikasi yang berkesan antara ibu ayah dengan anak-anak. Komunikasi yang berkesan memerlukan tindakan dua hala dan menatijahkan suasana yang positif dan memberikan makna yang baik. Kebiasaannya, anak-anak pada fasa kehidupan yang baru, banyak persoalan yang bermain di mindanya.

Keadaan ini memungkinkan pelbagai soalan muncul daripada bibirnya. Adakah persoalan ini harus dibiarkan sahaja atau memerlukan jawapan. Jika memerlukan jawapan, apakah bentuk jawapan yang perlu disediakan? Rakan penjaga yang dihormati, pertamanya ingin sekali saya jelaskan bahawa, apabila anak banyak tanya, ia melambangkan mindanya sedang bergerak aktif dan ini merupakan satu perkembangan yang baik yang wajar diberikan galakan dan bukan dihentikan.

SUASANA KONDUSIF

Bagaimana galakan ini harus ditunjukkan ialah dengan mewujudkan suasana yang kondusif dalam perbualan ibu bapa dengan anak ini. Ini adalah perkara yang wajar diberikan pertimbangan. Ini kerana, apabila setiap kali anak mengajukan soalan, suasana dan respons yang diterima sering kali tidak memberangsangkan maka ia akan memberikan tanda bahawa apa yang dilakukan tidak digemari dan mungkin tidak wajar dan dia akan hanya memendamkan sahaja persoalan tadi kepada orang lain yang bagi pandangannya akan melayan rasa ingin tahunya.

Bayangkan sahaja jika situasi ini berlaku kepada anak-anak kita, mungkin pada waktu ini iaitu ketika dia masih kecil kita merasa aman kerana tidak diajukan soalan demi persoalan namun, setelah dia menginjak dewasa, dia akan terus menyepi dan  penuh dengan rahsia apabila berdepan dengan kita. Pada waktu itu, jika kita minta dia bercerita sekali pun  mungkin sukar unyuk dia memberikan kepercayaan tersebut dan membuka mulutnya kerana apa yang ada dalam mindanya ialah suasana yang tidak menyokong rasa ingin tahunya.

Lebih-lebih lagi apabila dia lagi percaya untuk berkongsi rasa ingin tahunya dengan orang luar yang kita sendiri tidak tahu atas pertimbangan apa yang digunakan untuk menjawap setiap persoalan yang anak-anak kita ajukan. Maka, sebagai langkah awal yang baik untuk perkembangan anak-anak, suasana yang kondusif untuk perbualan ibu bapa dengan anak ini amat perlu diwujudkan.

Antara perkara yang perlu dilakukan untuk mewujudkan suasana ini adalah dengan mengalu-alukan persoalan yang ingin ditanyakan, cuba sedaya mungkinuntuk memberikan respons kepada perbualan tersebut bagi mewujudkan komunikasi dua hala yang baik. Berilah perhatian sehingga kita mampu memberikan makna yang benar kepada persoalan anak-anak dan seterusnya menyediakan jawapan yang sesuai dengan keadaannya, inilah yang dipanggil hikmah.

BACA MINDA ANAK

Rakan penjaga yang dihormati, apabila ank-anak mula bertanyakan soalan, perkara pertama yang perlu kita baca daripada itu adalah mindanya sedang berkembang dan bergerak aktif, yang kedua ialah dia sedang membina kepercayaan  dan yang ketiga dia sedang menyediakan mindanya untuk mengetahui makna, seterusnya bertindak adil dalam setiap perlakuannya dengan hikmah.

Justeru, untuk menyediakan anak-anak yang mempunyai adab iaitu yang mengetahui makna, hikmah dan adil dalam setiap perlakuan dan pertuturannya, maka masa ini harus diraikan hak istimewa demi menjamin pembentukkan adab dalam dirinya. Hanya dengan adap anak-anak akan mendapatkan  dan menghayati ilmu dan begitu juga sebaliknya. Dengan ilmu yang diberikan secara santai sesuai dengan fasa kanak-kanak akan lebih terpahat dalam minda dan hatinya maka pandangan alam tentang kehidupannya akan terbentuk dengan lebih murni seterusnya mempengaruhi tindakannya dalam kehidupan.

Rakan penjaga yang dihormati, gunakanlah peluang yang diberikan Allah untuk membina komunikasi yang baik sesuai dengan keadaan anak-anak kita.

Kemudianteguhkan kepercayaannya dengan kita untuk terus menyulam makna seterusnya membina hikmah dan adil dalam dirinya. Insya-Allah. Wallahualam.

( Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad)
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia.

No comments:

Post a Comment

thanks for visiting my blogs :)