Monday, July 15, 2019

~ MAKAN KURMA SEPANJANG BERPUASA ~

Sumber Artikel Dari : majalah mingguan wanita (catatan kehamilan) bil: 1814
Susunan : Shahrina Azlin Abdullah
Kredit Gambar: google
Nota : sis kongsikan kembali info2 yang terdapat dalam kandungan majalah mingguan wanita untuk pengetahuan kita bersama..untuk lebih banyak info2 yang bermanfaat boleh lah beli majalah wanita setiap minggu :)
www.mingguanwanita.my



BAIK UNTUK KESIHATAN IBU HAMIL

Ibu hamil yang berpuasa pastinya memerlukan makanan berkhasiat yang dapat membekalkan tenaga yang berpanjangan. Justeru pengambilan kurma ketika hamil adalah digalakkan bukan sahaja ketika bulan Ramadan, tetapi juga pada hari-hari biasa.

Khasiat yang terkandung di dalam buah kurma baik untuk perkembangan bayi di samping mempunyai pelbagai kelebihan lain untuk ibu hamil. Berikut adalah khasiat kurma untuk ibu hamil menurut kajian dan laporan sains:

MEMBEKALKAN TENAGA
Kurma memang biasanya diamalkan pada bulan Ramadan atau puasa kerana ia berupaya membekalkan tenaga untuk bertahan sepanjang hari berpuasa. Kandungan glukosa dalam kurma mencapai 50 hingga 57 peratus dan ia dapat mengelakkan ibu hamil daripada cepat letih. Selain itu juga baik untuk diamalkan ketika hampir melahirkan dan setelah bayi anda sudah dilahirkan.

BAIK UNTUK PERKEMBANGAN BAYI
Kandungan kalium yang ada dalam kurma dapat meningkatkan rangsangan pada saraf. Manfaat ini menjadikannya amat baik untuk keperluan nutrisi bayi dalam kandungan ibu. Ia juga mempunyai protein yang tinggi yang dapat membantu perkembangan bayi kerana merupakan pembentuk utama sel manusia.

MELANCARKAN PENCERNAAN
Selain kandungan glukosa, kurma juga kaya dengan serat, riboflavin, kalium, serta niasin yang membantu melancarkan sistem pencernaan serta mengelakkan sembelit. Lazimnya masalah hamil dan selepas melahirkan. Dengan mengamalkan kurma, ia dapat membantu anda untuk mengatasi masalah tersebut.

MENCEGAH ANEMIA
Menurut laman web LiveStrong, khasiat kurma untuk ibu hamil antaranya dapat mencegah masalah anemia. Ini kerana ia kaya denagn zat besi yang tinggi serta kandungan kalsium yang turut menyokong perkembangan tulang.

MENGEKALKAN KESEIMBANGAN ELEKTROLIT TUBUH
Kurma juga tinggi dengan potasium yang mana dapat membantu mengekalkan keseimbangan elektrolit pada tubuh ketika isipadu darah bertambah sepanjang kehamilan. Khasiat yang ada dalam buah kurma juga boleh membantu mencegah masalah pre-eklampsia pada akhir kehamilan.

MENINGKATKAN SISTEM IMUN
Sebuah penelitian yang dilakukan pakar menyatakan bahawa buah kurma memiliki sifat anti-kanser serta memiliki zat antioksidan yang berfungsi untuk mempertahankan tubuh daripada serangan radikal bebas. Dengan memakan buah kurma, sistem imun ibu hamil menjadi lebih berkesan dan membantu mengelakkan ibu hamil daripada terkena jangkitan penyakit.

MELANCARKAN PENYUSUAN SUSU IBU
Selain banyak khasiat untuk kesihatan ibu, kurma juga boleh membantu melancarkan penghasilan susu ibu. Kurma terkenal sebagai salah satu makanan yang dapat memproduksikan susu ibu dengan lebih banyak kerana mutriennya yang tinggi.


TERIMA KASIH :
( Dr. Maiza Tusimin )
Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi Pakar Perunding Reproduktif & Infertiliti Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia.

No comments:

Post a Comment

thanks for visiting my blogs :)