Monday, July 15, 2019

~ LATIH SI KECIL BERPUASA SECARA BERPERINGKAT ~

Sumber Artikel Dari : majalah mingguan wanita (panduan ibu muda) bil: 1814
Oleh : Shahrina Azlin Abdullah
Kredit Gambar: -
Nota : sis kongsikan kembali info2 yang terdapat dalam kandungan majalah mingguan wanita untuk pengetahuan kita bersama..untuk lebih banyak info2 yang bermanfaat boleh lah beli majalah wanita setiap minggu :)
www.mingguanwanita.my

  Bulan Ramadhan sering kali disambut meriah dengan hidangan enak yang pastinya membuat semua orang teruja dan gembira. Tambahan pula dapat berkumpul bersama saat berbuka tentunya ia sesuatu yang cukup indah.

  Mempunyai anak yang masih kecil dan turut berpuasa bersama sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini tentu satu kebanggaan buat ibu dan ayah. Namun sebagai persediaan untuk mengajar anak yang masih kecil untuk berpuasa, MW dapatkan pandangan daripada Pakar Pemakanan Hospital Pantai, Pulau Pinang, Ms Verona Lee Bee Kian untuk ulasan lanjut.

  Secara umumnya, kanak-kanak yang belum mencapai akil baligh dikecualikan daripada berpuasa. Namun, banyak ibu bapa pada hari ini yang menerapkan amalan berpuasa untuk anak-anak sejak dari awal usia. Ibu bapa boleh mula menggalakkan anak-anak mereka untuk memulakan berpuasa dengan berpuasa secara berperingkat, contohnya sebagai permulaan hanya untuk beberapa jam sehari terlebih dahulu.

  Kemudian barulah diikuti dengan separuh hari dan seterusnya puasa penuh mengikut kemampuan anak anda. Hal ini dilakukan untuk membiasakan anak-anak berpuasa di bulam Ramadan. Ia perludilakukan secara berperingkat dan ibu bapa adalah individu yang lebih arif untuk menyesuaikan latihan berpuasa mengikut kemampuan anak-anak.

LEBIH KREATIF MENYEDIAKAN HIDANGAN

  Ibu-ibu perlu lebih kreatif di bulan puasa ini dalam memastikan anak-anak mengambil keperluan makanan yang seimbang ketika bersahur dan berbuka. Pemakanan yang betul semasa sahur adalah sangat penting untuk anak dapat bertahan sepanjang tempoh puasa setiap hari.

  Berikan anak-anak anda makanan seimbang yang terdiri daripada makanan yang mencerna secara perlahan, kaya dengan serat seperti bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran, untuk mengekalkan rasa kenyang dalam tempoh lebih lama. Perhatikan juga jumlah makanan yang di makan oleh anak-anak, kerana makan berlebihan boleh menyebabkan masalah kembung dan perut yang tidak selesa.

  Elakkan juga makan terlalu banyak makanan pedas kerana ia boleh menyebabkan ketidakselesaan perut. Bersederhana adalah kunci utama. Pastikan mereka minum air uang mencukupi dan tidak lupa untuk memakan buah-buahan dan sayuran agar sistem pencernaan mereka tidak terganggu.

SAHUR ITU PENTING

  Ibu perlu pastikan anak-anak bangun untuk makan ketika waktu sahur. Pemakanan yang betul dan seimbang adalah penting untuk memastikan mereka aktif sepanjang tempoh berpuasa dengan kurma dan air atau susu, diikuti dengan makan malam yang seimbang agar anak-anak kekal bertenaga.

  Selain itu, pengambilan snek di antara selepas berbuka puasa dan sebelum tidur juga digalakkan . Adalah disyorkan untuk mengambil sekurang-kurangnya dua snek ringan, lebihkan makanan yang lebih cepat mencerna.. Sebagai contoh, protein tanpa lemak seperti putih telur, ikan, ayam tanpa kulit, yogurt, karbohidrat berkhasiat seperti buah-buahan, makanan dengan lemak yang baik seperti avokado dan kekacang.

ELAK DEHIDRASI

  Punca yang paling biasa kanak-kanak kehilangan berat badan semasa berpuasa adalah dehidrasi. Ibu bapa perlu berhati-hati jika ini adalah kali pertama anak-anak berpuasa.

  Jika ibu bapa atau guru-guru disekolah dapat lihat tanda-tanda dehidrasi atau keletihan seperti pening, keletihan berlebihan, sakit kepala dan kejang, kanak-kanak perlu dinasihati untuk terus berbuka puasa dengan segera dengan meminum air. Mereka perlu diberitahu bahawa dalam situasi sebegini membolehkan mereka untuk berbuka puasa.

  Jika anak tidak mampu berpuasa, biarlah mereka berbuka dan boleh cuba berpuasa lagi di lain hari. Apabila anak berjaya berpuasa mengikut waktu tertentu, ucapkan tahniah kepada mereka. Walaupun hanya untuk 2-3 jam, walaupun setengah hari. Dengan cara ini, mereka lebih bersedia dan tidak rasa terpaksa untuk berpuasa.

  Selain itu juga, bagi mengelakkan badan mereka terhidrasi, galakkan anak-anak yang berpuasa untuk makan buah-buahan semasa bersahur dan berbuka puasa. Ia merupakan salah satu cara yang baik untuk membantu anak-anak daripada terhidrat.

  Sediakan air berperisa sihat dengan buah-buahan seperti lemon, anggur, epal atau herba seperti pudina di rumah juga merupakan idea yang baik untuk menggalakkan kanak-kanak supaya mereka banyak minum air.

  Selain daripada itu, berikan jus buah-buahan, susu dan sup untuk mengekalkan penghidratan mereka. Dan terakhir, sebagai ibu bapa, jadilah contoh untuk anak-anak dengan mengamalkan minum air secara kerap dan elakkan menyimpan minuman manis seperti minuman kordial atau berkarbonat di rumah walaupun ia digemari oleh anak-anak.

No comments:

Post a Comment

thanks for visiting my blogs :)