Saturday, July 27, 2019

~TEGUR BOLEH TAPI JANGAN SAMPAI MENGECAM!~

Sumber Artikel Dari : majalah wanita (munajat) bil; 1814
Susunan @Olahan : -
Perkongsian Dari : (Dr. Azhar Haji Sarip - NLP Gold Master Trainer  (NFNLP,USA) )
Kredit Gambar : -
Nota Dari Blogger :
sis kongsikan kembali info2 yang terdapat dalam kandungan majalah mingguan wanita untuk kita sama2 menambah ilmu pengetahuan. Untuk lebih banyak info2 yang berguna disarankan anda semua mendapatkan majalah mingguan wanita. sama2 kita sokong majalah mingguan wanita. terima kasih.



Tegur-menegur adalah satu sikap yang terpuji. Apatah lagi apabila ia dapat membawa kebaikkan bersama. Ia bukan sahaja dapat memberi perubahan yang baik bahkan akan mengikat silaturahim yang ada dengan lebih kuat lagi.

Tegur menegur pada saya adalah satu dari cara yang baik untuk menyedarkan satu sama lain. Ini kerana kita sering tidak perasan kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan. Sebagai makhluk yang tidak pernah sempurna, kita pasti acap kali terlepas pandang tentang perbuatan kita yang menyalahi hukum, adab, adat dan perasaan. Biarpun kita sudah benar-benar cuba menjaga kelakuan kita namun kita mungkin boleh lari dari melakukan kesalahan dan kesilapan.

Justeru, kita perlukan teguran serta pandangan dari orang sekeliling kita yang mungkin dapat melihat kecacatan perlakuan kita. Saling menyedarkan ini sememangnya terpuji sesuai dengan sabda baginda s.a.w yang diriwayatkan oleh Ad Dailami yang mana baginda memberitahu ada tiga perbuatan yang sangat baik, iaitu berzikir kepada Allah SWT dalam segala situasi, saling menyedarkan antara satu sama lain dan mengasihi saudaranya.

Meskipun begitu, setiap teguran yang mahu kita beri perlulah melalui beberapa tapisan dahulu. Pertama, ia perlu menapis tapisan akal. Kita perlu mengetahui dengan jelas adakah teguran itu bakal membawa perubahan yang baik dan memberi manfaat kepada penerimanya. Keduanya, kita perlu menapis teguran tersebut dari sudut emosi, adakah teguran kita akan merosakkan emosi si pendengar atau mungkinkah teguran kita akan menjadi kan emosinya negatif.

Seterusnya, kita juga perlu menapis lisan kita agar tidak mengeluarkan kata-kata yang membuatkan seseorang itu menolak teguran yang diberi atau memberi reaksi negatif dek kerana cara kita menegur.

Sikap tegur menegur ini bukanlah satu lesen yang membolehkan kita menjadi ' Tukang Tegur '. Hari ini kerjaya ' Tukang Tegur ' bertebaran di sana sini. Sikap tegur menegur adalah satu sikap yang membolehkan si penegur juga ditegur. Tetapi kerjaya ' Tukang Tegur ' kerap menjadikan sesorang itu tidak boleh ditegur kerana hanya dia yang layak ditegur. ' Tukang Tegur ' bukan lah seorang yang sempurna . Justeru, agak pelik jika dia tidak boleh ditegur tetapi dia sangat suka menegur. Semenjak dua menjak ini saya kerap ditanya dengan soalan tentang kewujudan 'Tukang Tegur' terutamanya dilaman maya. Pantang ada kesalahan dan kesilapan sedikit, pastinya bertalu-talu teguran diterima. Pada satu sudut, saya melihatnya  satu kebaikan  kerana kita cepat mahu menyedarkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan agar ia tidak membawa kepada kerosakan. Namun dari sudut yang lain saya melihatnya sebagai satu punca keretakan dan perpecahan dalam hidup bermasyarakat.

KECAMAN
Masakan tidak, Sering benar kita dengar rungutan tentang teguran yang diberi berbentuk kecaman. Kita berbahas tentang kesalahan dan kesilapan orang lain secara terbuka. Kita mungkin sahaja terlupa yang baginda s.a.w sudah berpesan, " sesiapa yang menutup aib manusia lain didunia, nescaya Allah akan menutub aibnya pada hari akhirat," (HR Muslim). Tidakkah kita ada sekelumit rasa bersalah atas cara teguran yang kita buat. Tidakkah kita ada rasa kasihan atas kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh orang yang kita tegur. Apakah yang kita mahu dari teguran yang kita buat itu. Adakah kita mahu menunjukan kepada dunia yang kita lebih baik dari orang lain? Adakah kita mahu dunia tahu yang kita sudah menjalankan tanggungjawab dalam memberi teguran? Atau boleh jadi kita menegur bukan atas dasar bijaksana tetapi semata-mata mengikut emosi.

Teguran dan kecaman itu sangat berbeza. Kita mungkin merasa yang kita sedang menegur. Tetapi bahasa kita adalah bahasa kecaman. Seperkara lagi, tidak bolehkah kita menegur sesorang itu melalui cara yang lebih peribadi hingga tertutup aib dan kesalahannya. Pada saya, kita boleh menegur. Tetapi tegur lah dengan penuh kasih sayang dan saya berpendapat bahawa teguran yang bagus adalah teguran tauladan yakni kita menunjukan adab kita hingga orang mahu kita tegur terikut-ikut dengan akhlak yang kita tunjuk.

Berhenti menjadi 'Tukang Tegur' kerana menegur orang itu memang sedap. Tetapi apabila kita ditegur mengapa sukar untuk ditelan dan mengapa cepat benar melatah. Tegurlah dengan penuh kasih sayang kerana ia insya-Allah menambat hati dan secara langsung dapat kita berdakwah walaupun pada skala yang kecil. Hakikatnya tiada manusia yang suka ditegur, justeru, adalah lebih baik kita menegur dengan cara yang tersirat tetapi memberi kesan mendalam.


No comments:

Post a Comment

thanks for visiting my blogs :)